Isnin, 19 Oktober 2015

Jika kadar tol tidak dinaikkan, BR1M juga mungkin berkurangan - Najib

sumber: Astro Awani


SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempertahankan kenaikan kadar tol berkuatkuasa 15 Oktober lalu sebagai satu keperluan.

Tegas Najib, kerajaan tiada pilihan selain menaikkan kadar tol, kerana jika langkah itu tidak dilaksana, kerajaan mungkin terpaksa mengurangkan kadar pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M). 

"Kita terpaksa meningkatkan kos. Kita tiada pilihan. Jikalau tidak naik, pampasan perlu dibayar. Perjanjian tol ditandatangani 20 tahun lalu di mana jika tiada kenaikan kadar tol, kita perlu membayar pampasan. Jadi apabila kita membayar pampasan, peruntukan untuk perkara lain juga berkurangan. Kurang duit untuk BR1M.

"Gerakan mahu saya meningkatkan kadar BR1M. Namun anda perlu pilih, yang mana satu anda mahu kerana kita ada peruntukan yang terhad," tambah Najib dalam ucapan ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional ke-44 Parti Gerakan Malaysia di Pusat Konvensyen Setia City, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap gesaan Gerakan agar kerajaan menaikkan jumlah bantuan BR1M dalam Bajet 2016.

Mengulas lanjut, Najib juga berkata peningkatan kos sara hidup yang turut berlaku di Pulau Pinang dan Selangor menunjukkan peningkatan kos adalah satu perkara yang tidak boleh dielakkan lagi.

"Saya tanya Tan Sri Koh Tsu Koon (bekas  Ketua Menteri Pulau Pinang) apa dah naik di Pulau Pinang? Dia kata tarif air sudah naik, kos pembangunan naik, harga tempat parkir pun sudah naik. Jadi, di Pulau Pinang dan Selangor, kos pun naik juga," kata Najib.

Terdahulu, Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong berkata parti itu masih menyifatkan BR1M adalah satu pemberian yang tepat bagi meringankan beban rakyat.

"BR1M ialah seperti skim-skim yang turut dilaksanakan di negara maju seperti Singapura dan Hong Kong. Malah Gerakan menggesa supaya BR1M dinaikkan, di samping langkah-langkah yang lebih berkesan dilaksanakan dengan tujuan mengawal dan mengurangkan kenaikan kos sara hidup," kata Siew Keong dalam ucapan aluannya dalam persidangan yang sama.

Beliau turut mencadangkan semua isi rumah yang berpendapatan kurang RM5,000 sebulan diberikan potongan cukai bagi bayaran Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sama seperti potongan cukai untuk insurans, KWSP, dan lain-lain perbelanjaan.
"Ini akan memberi sedikit kelegaan kepada keluarga berpendapatan sederhana, sementara BR1M menyediakan bantuan dalam bentuk wang tunai yang lebih diperlukan untuk golongan berpendapatan rendah," tambah Mah.

Erm... patutkah aku sebagai Rakyat jelata yang tiada apa2 kuasa untuk mengulas?
atau patutkah dipendamkan saja apa yg terbuku dihati...
Aisehh.. aku tak dapat BRIM hokey... makanya aku TAK SUKA bila TOL NAIK.

Tiada ulasan: